• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

COVID-19 : Empat Individu Positif Di Terengganu

Foto ihsan - Medical News Today.

KUALA TERENGGANU, 16 Mac - Empat individu dari Madrasah Kubang Bujuk, Terengganu telah disahkan positif COVID-19 sekali gus menjadikan kesemua negeri di Malaysia terjejas dengan wabak berkenaan.

Menteri Kesihatan Malaysia, Dato’ Sri Dr Adham Baba memaklumkan, sehingga 12 tengah hari tadi, terdapat 125 kes baharu yang telah dilaporkan di Malaysia termasuk Terengganu.

“Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 553 kes. 

“Berdasarkan siasatan awal, daripada 125 kes baharu yang dilaporkan hari ini, sebanyak 95 kes positif COVID-19 adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Seri Petaling.

“Sehingga kini, seramai 12 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bilangan positif COVID-19 mengikut negeri.
Mengulas lanjut beliau berkata, dengan pertambahan kes yang ketara sepanjang minggu lepas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah memasuki tahap pembendungan akhir iaitu ‘late containment’.

“Dalam tahap pembendungan akhir, ia bertujuan untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 daripada menjadi lebih serius di Malaysia,” jelasnya.

Adham juga menasihatkan orang ramai agar mematuhi segala arahan KKM bagi mengelakkan usaha mengekang virus tersebut berjalan lancar.

“Rakyat Malaysia diminta tidak menularkan sebarang maklumat yang boleh menyebabkan kebimbangan kepada orang awam.

“KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan ini melalui maklumat yang diperolehi dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tambah beliau.




Tag: