• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

COVID-19 : Hanafiah Serah 3,500 Pek Barangan Keperluan Bantu Pekerja Gaji Harian

Hanafiah (kiri) dan petugas DUN Cukai menjalankan kerja-kerja akhir sebelum diagihkan kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.
Oleh: Ahmad Ezani Razali

KEMAMAN, 1 April - Sebanyak 3,500 pek barangan keperluan berupa beras, gandum dan lain-lain telah diagihkan kepada mereka yang layak melalui seluruh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Cukai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri berusaha membantu mereka yang layak termasuk pekerja bergaji harian yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini bagi membendung penularan wabak COVID-19.


"Kira-kira 3,500 beg beras dan barangan dapur telah diagihkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Kerajaan negeri sentiasa memantau dan akan terus menghulurkan bantuan secara berperingkat mengikut perkembangan semasa ketika ini," ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri turut mengharapkan segala bentuk bantuan ini dapat disalurkan dengan cara yang terbaik.

"Kita memberi kepercayaan penuh kepada MPKK untuk melaksanakan bantuan ini dan hanya diberikan kepada mereka yang layak. Dalam masa yang sama kita mengharapkan semua pemohon bantuan ini dapat memberikan kerjasama yang baik kepada pihak MPKK," tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Cukai, baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan sentiasa memastikan kebajikan rakyat sentiasa diutamakan selaras dengan slogan 'Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera'.

Tag: