• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

COVID-19 : IPD Hulu Hasilkan Sendiri Penutup Muka

Sebahagian anggota polis dan tentera yang memakai penutup muka sewaktu melakutan sekatan jalan raya di daerah Hulu Terengganu.Foto Ehsan:IPD Hulu Terengganu


HULU TERENGGANU, 27 Mac - Berhadapan dengan situasi getir dalam menangani penularan wabak Covid-19, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu mengambil inisiatif sendiri untuk menghasilkan sendiri penutup muka susulan kesukaran untuk mendapat bekalan produk terbabit.

Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, penutup muka yang dihasilkan adalah untuk kegunaan pegawai dan anggota yang bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh daerah itu.

"Pihak kami menggunakan wang kelab IPD Hulu Terengganu bagi membeli barangan untuk membuat alat berkenaan yang berharga 50 sen setiap satu.

“Penutup muka atau Face Protector itu akan diberi kepada lebih 200 anggota dan pegawai termasuk 40 anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas di seluruh daerah ini.

“Kita bukan sahaja menjaga keselamatan petugas di lapangan, malah kebajikan keluarga mereka juga dititikberatkan,” katanya.



Dalam masa sama, beliau meminta orang ramai khususnya masyarakat yang tinggal di daerah berkenaan mematuhi arahan PKP dan sentiasa berada di rumah.

“Kita tidak akan berkompromi dan mengambil tindakan menahan sesiapa sahaja yang didapati dengan sengaja berada di luar rumah tanpa tujuan penting,” katanya.

Sepanjang tempoh PKP bermula 18 Mac lalu sehingga kini,  Hulu Terengganu belum merekodkan kes COVID19 atau masih merupakan zon hijau.

Tag: