• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

COVID-19 : MAIDAM Umum Lapan Insentif Untuk Rakyat Terengganu


KUALA TERENGGANU, 2 April - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengumumkan lapan insentif bagi meringankan beban rakyat di negeri itu yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut kenyataan itu semalam, selain bantuan sebanyak RM86,000 untuk Petugas Hadapan COVID-19 , Dana Ramadan sebanyak RM11 juta kepada 23,000 asnaf turut disalur dan diawalkan pembayaran.

Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Osman Muda berkata, pengagihan untuk fakir miskin dilakukan lebih awal sebagai mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April depan.

“Bantuan itu sepatutnya diagihkan pada minggu pertama Ramadan yang dijangka pada 24 April depan.

“Tetapi kita memutuskan membuat bayaran awal bagi meringankan beban golongan itu yang terpaksa mematuhi perintah PKP,” katanya sebagaimana dilaporkan Harian Metro baru-baru ini.

Selain itu, antara insentif lain yang boleh meringankan beban masyarakat ialah Bantuan Bulanan dan Sara Hidup Asnaf, ia telah diberi pada 18 Mac lalu dengan sebanyak RM3,352,600.

"Termasuk RM2,655,100 Bantuan Sara Hidup fasa kedua disegerakan melibatkan 1,578 asnaf setakat yang diluluskan pada 26 Mac 2020.

"Kemudian, RM500 bantuan kepada keluarga mangsa positif COVID-19. Seramai 39 orang (bagi fasa pertama) dan keseluruhan berjumlah RM19,500.00.

"Dan RM50,000 bantuan khas COVID-19 Kepada pelajar di Jordan dan Mesir. Keseluruhan berjumlah RM100,000," jelas kenyataan itu.

Di samping itu, bantuan makanan berjumlah RM12,150 kepada 81 penerima di Perumahan Asnaf melibatkan Perumahan Asnaf Banggol Peradong (Kuala Terengganu), Perumahan Mak Chili (Kemaman) dan Perumahan Padang Nenas (Kuala Nerus).

Kata kenyataan itu lagi, MAIDAM memperuntukan RM5,000 sebagai keperluan Rumah Orang Tua melibatkan Rumah Sejahtera Taman Bahagia Bukit Payong, Rumah Ehsan Dungun (AMBS), Pusat Jagaan Kanak-Kanak Terencat Akal, Padang Midin dan Rumah Anak Yatim Darul Hilmi, Seberang Takir.

"Keseluruhan dana tersebut berjumlah RM20,000 bagi mengurangkan kesusahan yang dihadapi mereka sepanjang wabak ini berlaku," tambahnya.

Tag: