• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

COVID-19 : MDS Mulakan Disinfeksi Tempat Awam Di Setiu

Petugas MDS melakukan operasi nyah kuman di gerai makan.

Oleh : Fahmi Izzuddin

SETIU, 30 Mac : Majlis Daerah Setiu (MDS) memulakan operasi disinfeksi atau nyah cemar di tempat tumpuan awam di daerah ini hari ini bagi memastikan virus COVID-19 tidak terus merebak.

Operasi yang melibatkan tiga pegawai dan 11 anggota Jabatan Kesihatan dan Persekitaran Majlis Daerah Setiu itu bermula di kawasan Rehat dan Rawat R&R (Hentian) Rahmat, stesen bas, tandas awam, dan gerai makan di sekitar Bandar Permaisuri.

Ketua Jabatan Kesihatan Persekitaran MDS, Nurul Asmera Zamli berkata, langkah tersebut secara tidak langsung dapat membasmi wabak pandemik itu secara total sebagaimana saranan kerajaan.

“Operasi nyah cemar ini akan berterusan setiap hari mengikut jadual yang telah ditetapkan dan merangkumi semua premis milik MDS, tempat tumpuan awam seperti jeti, taman rekreasi, taman permainan kanak-kanak serta pasaraya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).

Hadir sama Yang Dipertua MDS, Mohd Iskandar Muhammad Aziz.

Dalam pada itu, Nurul Asmera turut mengingatkan masyarakat agar terus mengamalkan amalan kebersihan yang terbaik apabila berurusan di tempat awam.

“Orang ramai digalakkan untuk memakai topeng muka, menggunakan ‘hand sanitizer’ dan membasuh tangan apabila selepas menyentuh sesuatu,” tambah beliau.



Tag: