• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

COVID-19 : PKM Kota Putera Agih 800 Bungkusan Keperluan Asas



 Oleh : Mustaqim Afandi

BESUT, 29 Mac - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Kota Putera mengagihkan 800 bungkusan keperluan asas kepada penduduk kampung yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 secara berperingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sumbangan tersebut bagi membantu meringankan bebanan penduduk yang terkesan akibat daripada wabak tersebut  melanda daerah dan negeri kita ini.

“Sumbangan fasa pertama dan  dua telah diagihkan melalui Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bersama Pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Putera kepada penduduk kampung.


“Keperluan asas makanan berupa beras, gandum, gula dan beberapa jenis lagi telah diagihkan kepada 37 MPKK masing-masing serta turut diagihkan juga lima tan tembikai hasil tanaman petani sekitar Besut telah diagihkan secara berkala,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program mengagihkan sumbangan tersebut, di sini, pada semalam.

Justeru itu, Nurkhuzaini berharap sumbangan yang diberikan ini dapat meredakan kegelisahan rakyat yang terjejas akibat perintah kawalan pergerakan ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada barisan hadapan "first liner" yang membanting tulang dalam persiapan penghantaran bantuan keperluan asas kepada penduduk kampung.


“Saya memohon supaya masyarakat dapat bertenang dalam tempoh yang genting ini.

“Dan semoga usaha murni kita yang kita lalukan ini mendapat keberkatan disisi Allah,” tambahnya lagi.


Tag: