• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

COVID-19 : PKP Diperketatkan, Arahan Penggiliran Keluar Kenderaan Dilaksana



KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Pihak Polis di Terengganu akan memperketatkan Perintah kawalan Pergerakan(PKP) bermula esok 1 April 2020  bagi tujuan mengawal pergerakan orang ramai yang keluar tanpa sebab dan alasan kukuh.

Ketua Polis Negeri, Dato' Roslee Chik berkata ia juga akan dilaksanakan  bagi mengelakkan ramai berkumpul di Pasar atau Pasaraya sepanjang arahan PKP ini.

Katanya lagi, perintah ini akan dimulakan di Negeri Terengganu sebagai perintis.

"PDRM akan melaksanakan arahan penggiliran keluar kenderaan mengikut nombor genap dan ganjil iaitu nombor plat terakhir.

"Setiap hari secara bergilir contohnya untuk 1 April hanya kenderaan nombor ganjil sahaja dibenarkan keluar dan berada diatas jalan. Manakala nombor genap hanya keluar pada 2 April," ujarnya dalam satu kenyataan di laman sosial facebook Polis Terengganu pada hari ini.

Tambahnya lagi, pengecualian hanya diberikan kepada kenderaan esential dan pekerja yang membawa surat pengesahan majikan bagi perjalanan yang dibenarkan.

Jika didapati mana-mana kenderaan persendirian yang tidak dibenarkan bergerak ini melalui mana-mana sekatan, akan diarahkan kembali ke rumah masing-masing.

Pendekatan ini terpaksa dibuat bagi menghadkan jumlah kenderaan yang masih tinggi di atas jalanraya seolah-olah tidak menghiraukan PKP yang sedang dikuatkuasakan, dan pelaksanaan arahan ini akan diteruskan sehingga arahan baru dikeluarkan

Justeru itu, bagi Fasa dua PKP di negeri itu juga setiap kenderaan hanya dibenarkan dinaiki seorang pengguna.


Tag: