• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

COVID-19 : Terengganu Wujudkan Tabung Pemulihan Bantu PKS

Nurkhuzaini (dua dari kiri) melihat produk PKS.
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM4 juta untuk Tabung Pemulihan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Negeri Terengganu bagi membantu peniaga yang terjejas teruk disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Abdul Rahman berkata, mereka yang terdiri daripada peniaga swasta (persendirian) layak untuk memohon pinjaman sehingga RM50,000.

“Tempoh bayaran balik adalah selepas enam bulan daripada tarikh permohonan pinjaman dan ia turut bergantung kepada tempoh lanjutan PKP COVID-19.

“Insya-Allah dengan bantuan pinjaman tanpa riba (faedah) ini akan membantu peniaga-peniaga kita dan borang permohonan akan diedarkan secepat mungkin,” katanya ketika sidang media di Studio TV Darul Iman semalam.

Dalam perkembangan sama, pada 27 Mac lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan tambahan peruntukan daripada RM4 bilion kepada RM13.1 bilion bagi membantu individu dan PKS yang terjejas akibat wabak COVID-19.

BNM dalam kenyataan berkata, antara penambahan peruntukan ialah Kemudahan Bantuan Khas (SRF), daripada RM2 bilion kepada RM5 bilion dengan kadar pembiayaan maksimum diturunkan daripada 3.75 peratus setahun kepada 3.5 peratus setahun.

“Selain peruntukan tambahan kepada Kemudahan Semua Sektor Ekonomi (AES) daripada RM5.8 bilion kepada RM6.8 bilion bagi meningkatkan akses PKS kepada pembiayaan dan menyokong pertumbuhan dan kadar pembiayaan maksimum dikurangkan daripada lapan peratus setahun kepada tujuh peratus setahun,” ujarnya.

Menurutnya, PKS boleh memohon tiga kemudahan lain di bawah Tabung itu, iaitu Kemudahan Automasi dan Digital (ADF), Kemudahan Agromakanan (AF) dan Kemudahan Perusahaan Mikro (MEF).

Jelas BNM, PKS yang berminat boleh memohon pembiayaan dengan menelefon atau menghantar e-mel kepada institusi kewangan peserta (PFI), atau melawat platform rujukan pembiayaan perniagaan di www.imsme.com.my.

“PKS boleh memohon skim BizMula-i dan BizWanita-i yang disediakan oleh Credit Guarantee Corporation (CGC) bagi pembiayaan sehingga RM300,000.

“Institusi kewangan peserta juga boleh mendapatkan perlindungan jaminan daripada CGC atau Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi kemudahan itu,” tambah BNM.



Tag: