• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

COVID-19: 1,124 Penduduk Pulau Perhentian Jalani Saringan

KUALA TERENGGANU, 25 Ogos  -- Seramai 1,124 penduduk penduduk, pengusaha chalet serta pemilik resort di Pulau Perhentian menjalani ujian saringan besar-besaran,  susulan 75 kes positif COVID-19 dikesan, baru-baru ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dato' Dr Kasemani Embong berkata proses ujian saringan itu yang melibatkan hampir 70 peratus penduduk pulau dijangka selesai sepenuhnya petang ini.

Katanya, mereka telah menjalani ujian calitan COVID-19 yang dijalankan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sejak Jumaat lepas untuk mencegah penularan di pulau peranginan terkenal itu.

"Ujian calitan terpaksa dilakukan kerana terdapat 75 kes positif COVID-19 dikesan setakat hari ini. Sekatan pergerakan keluar masuk pulau juga telah dimulakan sejak Jumaat lepas.

"Punca penularan COVID-19 bukanlah jangkitan dari pelancong sebaliknya disebabkan pergerakan penduduk pulau yang berulang alik menjalankan beberapa urusan di tanah besar," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Dalam perkembangan yang sama , kesemua penduduk pulau yang positif COVID-19 telah dihantar menerima rawatan di Hospital Setiu dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKR) di Kem Wawasan serta Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan Besut dan kesemuanya berada dalam keadaan stabil.

"Mereka yang dikesan sebagai kontak rapat diberikan arahan untuk kuarantin di rumah dengan pengawasan ketat oleh penguatkuasa kesihatan dan Polis Diraja Malaysia," ujarnya.