• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

COVID-19: 42 Kes Varian Delta, Beta Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 6 Oktober -  Sebanyak 42 kes jangkitan COVID-19 membabitkan varian Delta dan Beta dikesan di negeri ini sejak akhir Jun lalu sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan negeri, Dato' Dr Kasemani Embong berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 33 kes membabitkan jangkitan varian Delta dan sembilan lagi varian Beta.

"10 kes varian membimbangkan (VOC) direkodkan di daerah Kemaman,sembilan di daerah Kuala Terengganu, masing-masing enam di Besut dan Dungun, empat di Hulu Terengganu, tiga di Marang, Setiu ( dua) dan Kuala Nerus (dua),”katanya menerusi Facebook rasmi beliau, semalam.

Dr Kasemani berkata, trend tersebut amat membimbangkan kerana kebolehjangkitan dua varian itu menular dalam kalangan masyarakat adalah tinggi.

"Fakta penting perlu diberi perhatian utama setiap rakyat adalah kadar kebolehjangkitannya yang tinggi dan sifatnya yang sentiasa berubah,"jelasnya lagi.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan terutama sewaktu berada di luar rumah walaupun Terengganu sudah mula melangkah ke fasa tiga, Pelan Pemulihan Negara (PPN) sejak 17 September lalu.

"Walaupun individu sudah mengambil vaksin, mereka tidak kebal sepenuhnya dan masyarakat jangan leka.Terus memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal," ujarnya .