• 04 Ogos 2021 | 25 Zulhijah 1442

COVID-19 : 5,294 Individu Dari Zon Merah Disaring Secara Sukarela

KUALA TERENGGANU, 1 Januari –Seramai 5,294 individu dari zon merah yang memasuki Terengganu telah berjaya disaring COVID-19 secara sukarela sehingga 31 Disember 2020.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, hasil saringan tersebut, seramai 25 individu telah disahkan positif COVID-19 dan 17 daripada 495 kontak rapat yang telah dikenal pasti, juga didapati positif.

“Sehingga semalam juga telah dilaporkan 17 kes baru di mana majoriti kontak rapat kes positif lain,” katanya dalam satu kenyataan di facebooknya semalam.

Dr Nor Azimi turut menasihati, mereka yang bergejala seperti demam, anosmia dan seumpamanya supaya membuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum merentas negeri.

“Sekiranya anda berada di kawasan wabak (kluster) atau telah membuat saringan di tempat sendiri, tangguh dulu niat merentas negeri sehingga keputusan ujian saringan anda telah diperolehi.

“Kita tak halang mereka yang ingin merentas negeri, tapi diingatkan supaya menjaga diri, keluarga dan masyarakat, bukan demi kepentingan sendiri semata-mata.

“Kami ada contoh kes di mana seorang yang demam tapi berjumpa dengan 10 buah keluarga di pelbagai majlis. Bayangkan puluhan kontak rapat terpaksa dicari dan dikuarantinkan,” katanya lagi.

Justeru itu, beliau menyeru agar semua orang tidak ambil mudah nasihat pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan budaya norma baharu.

“Bayangkan apabila satu keluarga berkumpul ramai-ramai, adakah kita pasti SOP boleh dipatuhi oleh mereka.

“Jangan ambik mudah nasihat Elak 3S dan Amal 3W. Itu sahaja benteng pertahanan kita buat masa ini,” ujarnya.