• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

COVID-19 : 60 Peratus Rakyat Terengganu Daftar Vaksin

KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Terengganu mencatatkan jumlah pendaftaran vaksin memberangsangkan dengan 61 peratus populasi telah didaftar berdasarkan statistik perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menurut maklumat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), sejumlah 494,627 pendaftaran telah diterima sehingga 29 Jun, baru-baru ini.

“Manakala jumlah vaksinasi dos pertama dalam negeri ini mencatatkan 12 peratus daripada jumlah populasi atau seramai 151,650 orang penerima dengan 21 lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negeri,” kata JKJAV menerusi laman web rasminya.

Sebelumnya, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak melaporkan individu lengkap dua dos dalam negeri masih di bawah 10 peratus (sehingga 28 Jun) seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Jelasnya, oleh sebab itu Terengganu masih tidak dibenarkan beralih ke fasa dua kerana belum memenuhi kriteria tersebut.

Sementara itu, situasi terkini Covid-19 dalam negeri sehingga semalam terus merekodkan kes baharu positif di bawah tiga angka dengan yang terkini sebanyak 20 kes sahaja, dengan daerah Dungun menunjukkan jumlah baharu tertinggi (10 kes).

“Ia melibatkan 15 kes daripada penularan tempatan manakala 5 kes lagi dikategorikan sebagai import, tiada kluster baharu juga dilaporkan,” kata Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu di Facebook rasminya.