• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

COVID-19 Ajar Masyarakat Cakna Golongan Miskin

KUALA TERENGGANU, 18 Jun - COVID-19 telah memberi banyak pengajaran kepada seluruh masyarakat antaranya seperti bersikap cakna terhadap golongan yang tidak bernasib baik serta paling terkesan dalam menghadapi Perintah kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi  Pembangunan Belia, Sukan dan  Badan Bukan Kerajaan  (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, ia telah membentuk satu perubahan sikap di kalangan rakyat yang memiliki keupayaan dan kemampuan daripada pelbagai sudut untuk menghulurkan bantuan.

"Oleh kerana itu kita melihat telah diwujudkan pelbagai program kebajikan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak pertubuhan yang kebanyakan dipelopori oleh belia dan  beliawanis negeri ini.

"Saya sangat kagum melihat usaha yang dilakukan bersungguh-sungguh menerusi lebih 1,600 NGO ini yang datang daripada pelbagai kluster yang menzahirkan keprihatinan mereka kepada mereka yang memerlukan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pidato 'Belia Melawan COVID-19 'Terengganu Pasti Menang', melalui TV Darul Iman kelmarin.

Wan Sukairi berkata, orang ramai bukan sahaja bersimpati kepada golongan yang memerlukan bahkan mereka turut memastikan segala keperluan diperlukan petugas barisan hadapan adalah mencukupi tanpa diminta.

"Meliputi pihak keselamatan, petugas di pusat kuaratin dan vaksinasi serta pelabagai lagi telah diberikan bekalan makanan, malah NGO yang ada di negeri ini juga begitu aktif mengumpulkan wang dan mengerakkan tenaga-tenaga wanita menyediakan pakaian pelindung khas (PPE) sebagaimana setahun yang lalu ia sangat terhad," katanya.

Kerajaan pula katanya, sama ada di peringkat persekutuan dan negeri tidak berlepas tangan sebaliknya turut membantu para petugas juga rakyat melalui pelbagai alternatif.

"Banyak peruntukkan melalui pelbagai program dan saluran dikeluarkan kepada rakyat untuk mengimbangi kesulitan serta kepayahan yang dialami dibelanjakan dengan jumlah yang begitu besar bagi membantu pelbagai segmen masyarakat bertujuan menampung kesusahan," katanya.

Malah jelasnya, kerajaan negeri juga turut memberi pengisian rohani dengan menganjurkan pelbagai program bagi memastikan rakyat negeri ini terus berada dalam keadaan sejahtera dan tidak murung.

"Malah bagi memastikan rakyat negeri ini terus mengekalkan kesihatan pihak Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) telah mengadakan program senamrobik secara virtual.

"Insya-Allah dengan adanya pelbagai program kebaikan yang berterusan akan menjadikan ujian yang dihadapi pada ketika dapat diuruskan dengan baik di samping ia menjadi satu pengalaman yang sangat berharga untuk dijadikan satu azimat bagi menghadapi kemungkinan akan perkara yang lebih sukar di masa akan datang," tambahnya.


Tag: