• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

COVID-19 Di Terengganu Dijangka Terus Meningkat

KUALA TERENGGANU, 3 September - Terengganu mencatatkan jangkitan baharu COVID-19 sebanyak 987 kes semalam iaitu angka tertinggi sejak pandemik itu bermula dan dijangka terus meningkat dalam masa dua minggu akan datang.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Dato' Dr Kasemani Embong berkata peningkatan kes itu disebabkan beberapa faktor termasuk saringan pengesanan kes aktif (ACD) bersasar di beberapa lokaliti di seluruh negeri. 

Katanya, daripada jumlah itu, Kuala Terengganu merekodkan kes tertinggi iaitu 266 kes diikuti Marang (171), Besut (166), Kemaman (117), Kuala Nerus (100), Dungun (86), Hulu Terengganu (42) dan Setiu (39).

"Selain itu, peningkatan juga kerana kita melakukan saringan wajib kemasukan ke penjara dalam kalangan Orang Kena Tahan (OKT), saringan pekerja dari tapak bina, aktiviti merentas negeri dan juga aktiviti perkumpulan.

"Susulan aktiviti pengesanan secara besar-besaran ini, kita menjangka peningkatan kes akan terus berlaku dalam masa dua minggu akan datang," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, Dr Kasemani berkata penguatkuasaan akan terus ditingkatkan bagi memastikan amalan norma baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi secara optima.

Jelasnya, JKNT akan memastikan aktiviti penguatkuasaan dijalankan di premis tertentu seperti tempat kerja, perniagaan dan tapak bina 

"Orang ramai diminta terus patuhi SOP walaupun Terengganu berada di Fasa Dua PPN (Pelan Pemulihan Negara). Sekiranya tiada urusan mustahak, terus kekal berada di rumah,"katanya.

Untuk rekod, sehingga semalam, Terengganu mempunyai 6,224 kes positif COVID-19 dan jumlah kumulatif pula ialah sebanyak 34,985 kes.