• 18 Apr 2024 | 9 Syawal 1445

COVID-19 Dijangka Turun Kepada Dua Angka Mei Depan

KUALA LUMPUR, 25 Januari – Kes COVID-19 dijangka dapat diturunkan kepada dua angka pada bulan Mei nanti sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama empat minggu ini disambung dengan PKP Bersyarat (PKPB) untuk tempoh tiga bulan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKP yang sedang berjalan tidak akan dilanjutkan selepas empat minggu dilaksanakan kerana ia memberi kesan kepada ekonomi.

“Sebaliknya usaha membendung pandemik COVID-19 akan diteruskan dengan pelaksanaan PKPB selama tiga bulan untuk menurunkan kes kepada dua angka,” katanya dalam sesi taklimat media mengenai Darurat COVID-19 secara dalam talian.

Menurut Dr Noor Hisham, beliau yakin sekiranya langkah tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan, jumlah kes yang tinggi sekarang ini akan dapat diturunkan.

“Pelaksanaan PKP mulai 13 Januari lalu sehingga 4 Februari bertujuan untuk menstabilkan jumlah kes positif COVID-19 yang semakin meruncing hari ini.

“Jadi kalau kita laksanakan PKP empat minggu sampai Februari, disusul dengan PKPB kita jalankan selama tiga bulan, dijangkakan pada Mei depan kita akan dapat turunkan kes sehingga dua digit,” katanya.

Semua negeri kecuali Sarawak kini sedang menjalani PKP 2.0 hingga 4 Februari ini. 


 


Tag: