• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

COVID-19 : Hotel Primula Ditutup 14 Hari

KUALA TERENGGANU, 5 September - Primula Beach Hotel ditutup selama 14 hari bermula hari ini sehingga 18 September depan susulan 29 kes positif COVID-19 dikesan dalam kalangan pekerja.

Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu (PKDKT) selepas mengambil kira hasil daripada penilaian risiko susulan dari kes pertama Covid-19 yang dilaporkan sebelum ini.

"Terdahulu, penutupan salah satu daripada empat dapur termasuk Bayu Restoran hotel berkenaan pada 29 Ogos lalu adalah berdasarkan penilaian risiko yang jangkitan hanya tertumpu di bahagian berkenaan.

"Setelah penularan membabitkan bahagian berlainan, pihak PKDKT mengarahkan penutupan keseluruhan premis bermula hari ini sehingga 18 September depan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambah Suaibah lagi, pihak hotel sedang bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk melakukan langkah seterusnya bagi mengawal risiko jangkitan serta langkah pembasmian kuman.

Sehubungan dengan itu katanya, keseluruhan pekerja seramai 109  akan disaring bermula esok.

Menurut beliau, penutupan sementara itu dijalankan mengikut Seksyen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) bagi mengelak perebakan penyakit berjangkit.