• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Covid-19: Kematian Dilapor Terus Meningkat Dalam Tempoh Tiga Minggu

KUALA TERENGGANU, 16 November - Terengganu mencatatkan peningkatan jumlah kematian yang dilaporkan akibat Covid-19 dalam tempoh tiga minggu kebelakangan ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Dato Dr. Kasemani Embong berkata, ada sedikit peningkatan dari segi jumlah kematian di negeri ini tetapi belum di tahap yang membimbangkan.

Katanya, sehingga semalam,  sembilan kematian direkodkan dengan masing-masing tiga di daerah ini dan Kuala Nerus di samping Marang (dua kes) dan Hulu Terengganu (satu kes).

“Kita juga dapati tidak berlaku kenaikan bilangan kes Covid-19 namun terdapat peningkatan kemasukan ke hospital meningkat dalam tempoh tiga minggu ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Kasemani berkata kapasiti penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) juga penuh susulan peningkatan kes positif Covid-19 kebelakangan ini.

Tambah beliau lagi, penggunaan katil bagi pesakit kategori lima kini adalah sebanyak lima peratus, kategori empat (18 peratus) dan kategori tiga (11 peratus).