• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

COVID-19 : Kes ICU, Penggunaan Katil Pesakit Di Terengganu Menurun

KUALA TERENGGANU, 2 Oktober – Terengganu mencatatkan trend penurunan kes aktif pesakit COVID-19 dan yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sejak akhir bulan lepas sehingga awal bulan ini.

Berdasarkan data semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia yang dimuatnaik ke laman web COVIDNOW, kadar kes ICU menurun daripada 37 kes (20 September) kepada 19 kes sehingga semalam.

“Ini menjadikan kadar penggunaan katil ICU untuk COVID-19 sebanyak 50 peratus dengan kadar keseluruhan sebanyak 62.5 peratus sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, Jumlah kes pesakit virus diwadkan di hospital turut menunjukkan penurunan sebanyak satu kali ganda dengan 412 kes (12 September) kepada 291 kes aktif di wad.

“Kadar penggunaan katil untuk pesakit kini mencatatkan kurang 60 peratus dengan kadar penggunaan keseluruhan hampir 80 peratus.

“953 kes aktif direkodkan pada 11 September yang juga kes tertinggi direkodkan sejak bulan Mei tahun ini telah menurun kepada 699 kes pada semalam,” menurut maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Terbaharu, Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin, telah bersetuju agar setiap kemudahan yang diumumkan sebelum ini dilaksanakan dengan syarat vaksinasi lengkap kekal bagi semua fasa pelan pemulihan negara.

“Bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang telah disahkan oleh Pegawai Perubatan,” katanya setelah Mesyuarat Jemaah Menteri, semalam.