• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

COVID-19 : Kes Kategori 3, 4, 5 Menurun Hasil Vaksinasi

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Hasil vaksinasi di Terengganu menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya mengurangkan kes serius COVID-19 yang tergolong dalam kategori 3, 4 dan 5, meskipun kes harian kekal tiga angka.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, berita baik tersebut menunjukkan majoriti kes harian hanya melibatkan kategori 1 dan 2 iaitu tidak bergejala atau bergejala ringan.

“Ini menggambarkan kesan vaksinasi dalam menangani kes sederhana dan teruk.

“Contohnya, kes kategori 5 yang memerlukan unit rawatan rapi (ICU) dan bantuan pernafasan menurun daripada 0.7 peratus (12 Julai) hingga tiada kes (2 Ogos).

“Bagi kategori 4, pada 12 Julai ia mencatatkan 6.4 peratus kemudian berkurang kepada 0.5 peratus (2 Ogos) daripada jumlah kes harian, sama seperti kategori 3 yang juga mencatatkan hanya 0.5 peratus pada 2 Ogos,” katanya ketika bersiaran secara langsung di TVDI, semalam.

Katanya, secara purata kategori 3 dan 4 adalah kira-kira 2.1 peratus sahaja daripada kes harian yang selebihnya memadai dipulihkan di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

“Ini satu perkembangan penting, semakin tinggi vaksinasi semakin berkurang kes kritikal ke hospital,” katanya lagi.

Beliau turut menasihati agar seluruh masyarakat yang mendapat temujanji vaksin agar menghadiri sesi yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Ini bagi mengelakkan agar Pusat Pemberian Vaksin (PPV) kita tidak sesak, jadi ikutilah jadual ditetapkan, jangan temujanji pukul dua, kita datang pagi,” jelasnya.

Menurut laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKVAV) sehingga 2 Ogos, Terengganu mencatatkan 28.1 peratus (353,511 orang) yang telah disuntik dos pertama, manakala 17.7 peratus (223,227 orang) telah selesai dua dos suntikan.