• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

COVID-19 : Rakyat Dinasihat Berjaga-Jaga

KUALA TERENGGANU, 18 Disember - Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah meminta rakyat negeri ini mengambil langkah pencegahan ekoran kes Covid-19 semakin meningkat.

Wan Sukairi berkata, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bahawa terdapat peningkatan kes COVID-19 yang dilaporkan secara global termasuk juga di beberapa negara jiran. 

Katanya di Malaysia, peningkatan ini seiring dengan tren yang berlaku pada setiap hujung tahun seperti dilaporkan di negara-negara lain. 

“Majoriti kes Covid-19 di Malaysia mengalami gejala ringan dan tidak memerlukan rawatan di hospital.

“Kementerian kesihatan akan terus memantau situasi Covid-19 dan varian berkaitan,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.

Tambah Wan Sukairi, beliau meminta agar rakyat mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau pensanitasi.

Selain itu katanya, beliau menasihati supaya rakyat membuat penilaian kendiri tahap kesihatan serta tidak hadir ke mana-mana kawasan yang sesak dan menjadi tumpuan ramai sekiranya bergejala.

Di samping itu katanya, orang ramai disaran sentiasa memakai pelitup muka terutamanya bagi yang bergejala atau apabila berada di tempat tertutup, sempit dan sesak terutama kepada kumpulan berisiko tinggi.

“Seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah, dan ibu mengandung.

“Segera berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya gejala bertambah teruk terutama kepada kumpulan berisiko tinggi,” ujarnya.

Untuk rekod, pada minggu epidemiologi ke-49 (ME 49/2023), sebanyak 12,757 kes Covid-19 telah dilaporkan berbanding 6,796 kes yang dilaporkan pada ME 48/2023 (26 November 2023 hingga 2 Disember 2023). 

Secara keseluruhan, peratus kes kematian COVID-19 dari 25 Januari 2020 sehingga 9 Disember 2023 adalah 0.72 peratus.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 


Tag: