• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

COVID-19 : Satu Lagi PKPD Di Terengganu, Kes Harian Hampiri 600

KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di satu lokaliti di Kuala Terengganu, kata Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau dalam kenyataan mengenai Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini memaklumkan, lapan lokaliti di tiga negeri diumumkan pelaksanaan PKPD dan di Terengganu terletak di Desa Keluarga Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Chendering.

"Pelaksanaan PKPD ini adalah berdasarkan pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19," katanya dalam kenyataan harian Pelan Pemulihan Negara (PPN) hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPD ini bermula 10 Ogos hingga 23 Ogos ini.

Hishammuddin juga berkata, PKPD di satu lokaliti di sambung bermula esok sehingga 23 Ogos ini iaitu di Kampung Teluk Menara, Manir.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Terengganu mencatatkan peningkatan kes positif harian COVID-19 dengan 598 kes dengan lima kes kematian.

“Malaysia mencatatkan sedikit penurunan kes positif Covid-19 iaitu 18,688 kes berbanding semalam, 19,257 kes,” katanya menerusi hantaran Facebook, hari ini.