• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

COVID-19 : Terengganu Catat 16 Jangkitan Varian Delta, Beta

KUALA TERENGGANU, 3 September - Sebanyak 16 kes jangkitan melibatkan Variant of Concern (VOC) virus SARS-CoV-2 dilaporkan di negeri Terengganu sehingga semalam.

Daripada kes yang dilaporkan, tujuh kes melibatkan varian Delta (B.1.617.2) dan sembilan kes varian Beta (B.1.351) sejak ia mula dikesan akhir Julai lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, kewujudan varian ini memerlukan tindakan kawalan yang lebih teliti kerana kadar jangkitannya lebih cepat.

"Daripada jumlah itu, empat kes VOC direkodkan di Kuala Terengganu, Hulu Terengganu (4), Marang (3), Kemaman (2) dan masing-masing satu kes di Setiu, Dungun dan Besut.

"Tindakan kawalan juga dilakukan dengan lebih cepat seperti memastikan pesakit dikuarantin dengan betul serta mengasingkan segera pesakit dan kontak rapat yang dikesan, katanya kepada pemberita.

Dr Kasemani berkata, bagi mengurangkan risiko daripada dijangkiti VOC Covid-19, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menasihatkan orang ramai termasuk individu yang telah menerima vaksinasi supaya terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

"Elakkan kawasan yang sesak dan sempit serta jangan bersembang dengan jarak yang dekat.

"Sentiasa amalkan 3W (wash, wear dan warn). Duduk di rumah dan hanya keluar jika ada urusan penting, katanya mereka yang bergejala perlu ke klinik dengan segera untuk diambil sampel,"ujarnya.