• 17 Ogos 2022 | 19 Muharam 1444

Covid-19 : Terengganu Catat Kes Kematian Tertinggi

PUTRAJAYA , 8 Disember- Terengganu mencatatkan kematian tertinggi berbanding negeri lain dengan 12 kes dilaporkan, daripada jumlah keseluruhan 66 kes kematian Covid-19 di seluruh negara.

Menurut data pada laman web CovidNow, angka tersebut menjadikan jumlah kematian terkini sebanyak 30,718 kes serta tiada kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam semalam.

“Sebanyak sembilan kes meninggal dunia di luar hospital atau brought-in-dead (BID) dengan jumlah kes BID di Malaysia sebanyak 6,216 kes,” demikian maklumat tersebut di sini hari ini.

Negeri-negeri lain yang merekodkan kematian ialah di Selangor (11), Kedah (8), Perak (7), Pulau Pinang (6), Sabah (5), Negeri Sembilan (4), Kuala Lumpur (3), Johor (3), Sarawak (2), Pahang (2), Kelantan (2) dan Melaka (1) serta tiada kematian di Perlis, Labuan dan Putrajaya.

Terdapat 60,411 kes aktif melibatkan 49,279 kes dikuarantin di rumah, 5,875 kes di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), 4,820 kes di hospital, 197 kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa bantuan pernafasan dan 240 kes di ICU dengan bantuan pernafasan.

Sebanyak 4,965 kes harian semalam disumbangkan oleh Selangor (1,196 kes), Kelantan (573 kes), Johor (438 kes), Pulau Pinang (388 kes), Kuala Lumpur (380 kes), Kedah (365 kes), Pahang (363 kes), Sabah (307 kes), Terengganu (219 kes), Negeri Sembilan (212 kes), Sarawak (71 kes), Melaka (181 kes), Perak (170 kes), Perlis (46 kes), Putrajaya (33 kes) dan Labuan (23 kes). -K! ONLINE