• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

COVID-19 : Terengganu Catat Kes Terendah Sejak Lebih Dua Bulan

KUALA TERENGGANU, 18 Oktober - Kes positif harian COVID-19 di Terengganu menunjukkan trend penurunan konsisten kepada 319 kes pada semalam, jumlah terendah sejak akhir Julai lalu.

Berdasarkan data semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia yang dimuatnaik ke laman web COVIDNOW, kes harian di dalam negeri mencatatkan pengurangan kes harian sejak 3 Oktober daripada 827 kes.

“Ini menjadikan keseluruhan kes COVID-19 sebanyak 65,053 kes dengan jumlah kematian melebihi 400 kes.

“Jumlah pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) turut berkurang kepada 14 kes (kadar penggunaan 39 peratus) berbanding 26 kes pada akhir bulan September.

“Data pesakit aktif menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menurun kepada 18 kes (kadar penggunaan katil 48 peratus) iaitu jumlah terendah sejak akhir bulan Julai,” katanya menurut maklumat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM ingin menasihati orang ramai termasuk individu yang sudah menerima vaksin Covid-19 supaya terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan yang sering ditekankan.

"Patuhlah kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagai norma baharu dan dapatkan vaksin Covid-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius, bilangan kes kematian sekali gus membina imuniti kelompok," katanya dalam satu kenyataan semalam.