• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

COVID-19 : Terengganu Catat Penggunaan Katil Tertinggi

KUALA TERENGGANU, 14 November – Terengganu mencatatkan kadar membimbangkan dari segi penggunaan katil dengan peratusan tertinggi di Malaysia iaitu 82 peratus, diikuti jumlah kematian yang mencecah 500 kes menurut Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga semalam.

Berdasarkan data semasa jangkitan COVID-19 di Malaysia yang dimuat naik ke laman web COVIDNOW, peratusan katil pesakit COVID-19 menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah seramai 28 kes dengan kadar penggunaan mencecah 75 peratus.

“Sementara itu, peratusan penggunaan katil pesakit COVID-19 diwadkan di hospital di negeri adalah seramai 66 orang dengan kadar penggunaan tertinggi di Malaysia iaitu 82 peratus dengan tren dua peratus kenaikan dalam tujuh hari.

“Jumlah kematian adalah sebanyak 501 kes dengan empat kes terbaharu pada semalam dengan 51 daripada jumlah kes didapati pesakit COVID-19 yang meninggal dunia sebelum bantuan perubatan dapat diberi (BID),” katanya.

Terdahulu, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Kasemani Embong berkata, peningkatan kes kritikal sedemikian dipercayai berpunca akibat pergerakan rentas negeri di samping peralihan Terengganu ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sehingga semalam, Terengganu mencatatkan jumlah kes harian sebanyak 247 kes dengan jumlah kes baharu tertinggi di Kuala Nerus (83 kes) diikuti Kuala Terengganu 63 kes).