• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

COVID-19 : Terengganu Catat Sembilan Lagi Kes Baharu


KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Terengganu mencatatkan sembilan lagi pertambahan kes baharu jangkitan COVID-19 hari ini.

Ia sekali gus menjadikan kes aktif atau kes sedang dirawat keseluruhan di negeri ini meningkat kepada 20 kes.

Sembilan kes terbabit masing-masing membabitkan daerah Besut sebanyak lima kes, Dungun tiga kes dan Kuala Nerus satu kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes itu melibatkan warganegara iaitu tujuh daripadanya saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi Sabah.

"Manakala satu kes saringan kontak rapat kes positif COVID-19 iaitu kes ke-11477 yang melibatkan warganegara.

"Di samping satu kes saringan di Pintu Masuk (Domestik dan Antarabangsa) yang juga melibatkan warganegara," katanya dalam sidang media harian COVID-19 hari ini.

Semalam, sebuah sekolah rendah di Kuala Nerus ditutup sementara selepas seorang guru yang merupakan kontak rapat kepada pesakit yang pulang dari Sabah disahkan positif koronavirus (Covid-19).

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, guru, murid dan kakitangan sekolah terbabit disaring, diletakkan di bawah perintah pengawasan dan dikuarantinkan sebagai langkah awal pencegahan penyebaran wabak berkenaan.

"Salah seorang pesakit COVID-19 merupakan guru di salah sebuah sekolah rendah di daerah Kuala Nerus.

"Sebagai langkah kawalan, sekolah ini ditutup sementara mulai 2 Oktober 2020 dan aktiviti disinfeksi secara menyeluruh akan dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)," katanya dalam satu kenyataan.

 


Tag: