• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

COVID-19 : Terengganu Kembali Catat Tiga Angka Kes Positif

KUALA TERENGGANU, 12 Julai – Terengganu kembali mencatatkan tiga angka kes positif COVID-19 dengan 140 kes hari ini.

Ini menjadikan kes tertinggi berbanding jumlah dua angka yang dicatatkan sejak 11 Jun lalu.

Berdasarkan laporan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), antara kluster yang menyumbang kes tertinggi adalah kluster Industri Lot Q dengan 31 kes positif, manakala daerah dengan kes tertinggi adalah di Dungun, 62 kes.

Menurut JKNT, kluster tempat kerja itu melibatkan daerah Dungun dan Kemaman iaitu pekerja-pekerja sebuah kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Lot Q, Kertih Bio-Polymer Park, Kemaman.

“Antara kluster baharu direkodkan dalam negeri adalah kluster Tanjung Gelam dan kluster Tok Molor.

“Hasil ujian saringan kontak rapat dijalankan JKNT merekodkan 121 kes. Manakala itu, kebanyakkan jumlah kes datang daripada kategori kes penularan tempatan iaitu sebanyak 109 kes,” katanya menerusi Facebook rasminya, sebentar tadi.

Dalam perkembangan sama, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi perkongsian dalam Twitter memaklumkan kes baharu harian COVID-19 mencatatkan penurunan kepada 8,574 menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 844,870.

"Selangor kekal mencatat kes harian tertinggi dengan 4,308 kes diikuti Negeri Sembilan (794), Kuala Lumpur (609), Kedah (415), Melaka (411) dan Johor (407)," jelasnya.