• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

COVID-19 : Terengganu Masih Bertahan, Masyarakat Jangan Leka

KUALA TERENGGANU, 10 Julai – Situasi pandemik COVID-19 dari segi tahap kesiapsiagaan katil di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di negeri ini masih dalam kawalan.

Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, jumlah PKRC di Terengganu kini telah berkurang daripada lima kepada tiga pusat iaitu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, Kem Wawasan Besut dan Kolej Jururawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

Kata beliau, pihaknya sentiasa bersedia dari segi kekosongan katil buat pesakit dan golongan kuarantin namun kekal dalam tahap berjaga-jaga untuk kemungkinan peningkatan kes.

“Penggunaan katil pada masa kini adalah sebanyak 301 buah dengan 72 untuk wad COVID-19 di hospital dan 229 lagi di beberapa PKRC dalam negeri.

“Sementara itu, jumlah keseluruhan katil di tiga PKRC adalah sebanyak 1,513 buah manakala 411 katil disediakan bagi wad COVID-19 di HSNZ dan Hospital Hulu Terengganu,” katanya kepada pemberita ketika ditemubual di Sekolah Kebangsaan Gong Pasir, Sura di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Nor Azimi turut menasihatkan warga Terengganu agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan elakkan daripada melakukan aktiviti ziarah ke rumah-rumah sama ada keluarga atau rakan-rakan.

Untuk rekod, berdasarkan laporan dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), situasi terkini kes positif virus sehingga 10 julai mencatatkan 50 kes baharu dengan 42 kes daripada adalah kes penularan tempatan.