• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

COVID-19 : Terengganu Rekod 184 Kes, Setiu Tertinggi

KUALA TERENGGANU, 2 Mei – Situasi penularan COVID-19 di Terengganu kembali ke tahap membimbangkan selepas merekodkan 184 kes baharu hari ini dengan Setiu sebagai penyumbang terbesar.

Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) memaklumkan, daripada keseluruhan kes positif 154 daripadanya datang dari daerah Setiu manakala Besut 24, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus masing-masing tiga.

Jelas JKNT, kes di Setiu melibatkan kluster yang baru didaftarkan semalam iaitu Kluster Saujana selain satu kes daripada saringan bergejala.

“Ia merupakan kluster institusi pendidikan yang melibatkan daerah Setiu dan Besut, Terengganu. Nama kluster adalah berdasarkan kepada alamat institusi pendidikan kes indeks. 

“Kes indeks bagi kluster ini ialah Kes 4106 yang merupakan seorang wanita berusia 13 tahun, Warganegara Malaysia dan dilaporkan positif COVID-19 pada 28 April 2021 hasil saringan individu bergejala. Saringan kontak rapat seterusnya berjaya mengesan kes-kes lain dalam kalangan rakan dan pengajar.

“Data saringan di Terengganu sehingga hari ini ialah berjumlah 386, 135 daripadanya negatif dan 153 positif, jumlah yang masih menunggu keputusan adalah 73,” ujar JKNT dalam satu kenyataan rasmi di facebook.

Dalam pada itu, JKNT turut memberitahu, selain kes-kes terbabit penularan positif baharu turut melibatkan tiga kes import C.

“Selain 12 kontak kes Kluster D’Lahar, 8 kontak kes Kluster Jalan Padang Tembak, 3 kontak kes Kluster Ara Murni,” tambah JKNT.


Tag: