• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

COVID-19: Terengganu Tambah Satu lagi PKRC

KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Satu lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) akan dibuka di negeri bermula esok susulan peningkatan mendadak kes positif yang berlaku semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Dr Alias Razak berkata setakat ini terdapat enam PKRC dengan kapasiti 2,967 katil dan pembukaan yang terbaharu itu menjadikan tujuh pusat rawatan di negeri tersebut.

Katanya, PKRC baharu itu beroperasi di Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan di Besut dengan kapasiti 392 katil.

"Sekiranya keadaan masih tidak terkawal, kita bercadang untuk menambah lagi dua PKRC iaitu di Stadium Negeri, Kuala Terengganu (400 katil) dan Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Hulu Terengganu (350 katil)," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Terengganu merekodkan 883 kes jangkitan baharu COVID-19 iaitu kes tertinggi pernah dicatatkan sejak pandemik berlaku.

Daripada jumlah tersebut, 860 kes membabitkan penularan tempatan manakala kes import B (14 kes), kes import C (8 kes) dan kes orang kena tahan (satu kes) menerusi 15 kluster yang terlibat.