• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

COVID-19:48 Petugas Kesihatan HSNZ Positif

KUALA TERENGGANU, 30 Januari - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan terdapat 48 orang petugas kesihatan yang telah dijangkiti COVID-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus berkata,  mereka yang positif telah diasingkan dan diberi rawatan.

"Manakala siasatan untuk mengenalpasti punca jangkitan sedang dijalankan dan kontak rapat bagi kes telah disaring dan diasingkan," katanya dalam satu kenyataan.

Namun begitu, Dr Nor Azimi menegaskan, pengurusan rawatan pesakit di HSNZ masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal.

Tambahnya, Perkhidmatan rawatan rapi (ICU), Dewan Bedah dan perkhidmatan kecemasan masih berjalan.

"Namun bagi mengurangkan gangguan pada perkhidmatan sedia ada, rawatan kes-kes ringan di Jabatan Kecemasan & Trauma HSNZ ditutup sementara bermula 29 Januari 2021.

"Pihak JKN Terengganu menasihati orang awam yang ingin mendapatkan rawatan bagi kes-kes ringan (Green Zone) masih boleh mendapatkan rawatan bagi kes-kes ringan di Jabatan Pesakit Luar, HSNZ atau klinik-klinik kesihatan yang berdekatan,"ujarnya lagi.

Sementara itu, beliau turut menasihati orang awam agar diminta untuk tidak menularkan sebarang berita yang tidak sahih supaya tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.