• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Covid-19:Majoriti Negeri Catat Peningkatan Susulan Kebenaran Rentas Negeri

PUTRAJAYA, 28 November – Hampir semua negeri termasuk Terengganu menunjukkan peningkatan kes Covid-19 kecuali Perlis, Sarawak dan Sabah susulan kebenaran merentas negeri yang dilaksanakan 11 Oktober lalu.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, enam negeri iaitu Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Terengganu, Kelantan dan Labuan pula menunjukkan kadar pengisian katil bukan Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 50 peratus.

Katanya, tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka, Terengganu dan Kelantan menunjukkan kadar pengisian katil ICU melebihi 50 peratus.

“Dalam kalangan pesakit Covid-19 kategori 3 hingga 5 yang dirawat di fasiliti kesihatan, didapati bilangan pesakit dalam kalangan kumpulan umur 40 tahun ke atas dan juga kumpulan warga emas telah menunjukkan peningkatan.

“Kementerian percaya peningkatan ini mungkin disebabkan faktor tahap antibodi terhadap Covid-19 yang menurun selepas beberapa bulan menerima vaksinasi lengkap. Situasi ini juga dilihat di banyak negara yang mencapai kadar vaksinasi lengkap yang tinggi,” katanya pada sidang akhbar baru-baru ini.

Khairy Jamaluddin berkata, golongan warga emas dan golongan 40 sehingga 59 tahun telah terlebih dahulu menerima vaksin sebelum ini maka tahap antibodi mereka terhadap Covid-19 menurun lebih awal.

Justeru itu, bagi memastikan tahap antibodi terhadap jangkitan Covid-19 kekal optimum, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan pemberian dos penggalak (booster) dan sehingga 25 November, sebanyak 1,823,474 dos penggalak diberikan.

Sementara itu, beliau berkata terdapat empat kluster yang dilaporkan berpunca daripada aktiviti sosial bagi tempoh dari 11 Oktober lalu hingga semalam iaitu sejak pergerakan rentas negeri dibenarkan.