• 08 Mei 2021 | 26 Ramadhan 1442

CSR Tani, Langkah Penjimatan

DUNGUN, 10 Mac- Langkah  mengadakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) tani adalah sebagai satu langkah penjimatan kepada peruntukan kerajaan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bajet pertanian sebanyak  RM20 juta lebih yang diperuntukkan kepada pertanian, perlu diagihkan kepada empat sektor iaitu sektor pertanian, perikanan, perternakan dan industri makanan. 

"Kemudian ianya perlu dibahagikan kepada lapan daerah dalam negeri Terengganu, selepas itu mesti dibahagikan kepada 70 peratus daripada 1.2 juta orang penduduk di Negeri Terengganu.

"Jawabnya RM20 juta tidak banyak mana, sebab itu ada kaedah - kaedah kita hendak berjimat, kita buat secara gotong royong ataupun CSR Tani." katanya. 

Dr. Azman berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Program CSR Tani bertempat di Ladang Projek Kelompok Kelapa Pandan, Kampung Alor Mak Bah di sini semalam. 

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman. 

Menurutnya lagi, sempena 2021 diisytiharkan sebagai Tahun Pertanian Negeri Terengganu program sebegitu dianjurkan hampir setiap hari dengan memanfaatkan kemudahan jentera-jentera yang sedia ada di jabatan. 

"Dengan tidak mengira tempat samada dalam baruh, laut, kebun kelapa ataupun kebun durian,kita pakat-pakat turun bersama - sama", tambahnya lagi. 

Sementara itu Pegawai Pertanian Daerah Dungun, Nur Shazwani Mohd Salleh menjelaskan kebun kelapa pandan tersebut adalah di bawah Projek Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang diusahakan seramai 46 peserta untuk fasa pertama dan kedua melibatkan 18 hektar. 

"Setiap peserta telah diperuntukkan seekar tanah untuk diusahakan tanaman kelapa pandan  secara berfasa dengan pembangunan kawasan bermula sejak 2014. 

"Kelapa ini mengambil masa selama 3 hingga 4 tahun untuk berbuah dan sehingga kini sebanyak 30,000 biji buah telah dihasilkan, "jelasnya


Tag: