• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Cuaca Buruk, Angin Kencang Mulai Malam Ini

KUALA TERENGGANU, 25 Februari- Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan, hujan sangat lebat berterusan dan angin kencang di kebanyakan kawasan di Semenanjung dijangka melanda mulai malam ini hingga esok.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, berkata ia berikutan ketika ini sistem cuaca tekanan rendah berada di kedudukan 3.04°U 104.78°T di Laut China Selatan dan dijangka melanda sempadan negeri Pahang serta Terengganu pada lewat malam ini dan seterusnya bergerak ke barat laut merentasi Semenanjung.

Ia boleh menyebabkan hujan sangat lebat berterusan dan angin kencang di kebanyakan kawasan di Semenanjung.

"Ramalan terkini menunjukkan kemungkinan sistem ini untuk meningkat ke tahap Lekukan Tropika adalah rendah," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) membabitkan Kelantan, Terengganu dan Pahang (Jerantut, Kuantan, Pekan).

"Hujan sangat lebat berterusan dalam tempoh yang panjang boleh mengakibatkan banjir di kawasan berkedudukan rendah. Justeru orang awam di kawasan terbabit dinasihatkan untuk lebih peka dan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Angin kencang dan laut bergelora di perairan Pantai Timur Semenanjung meliputi Kelantan, Terengganu, Pahang dan timur Johor serta Sarawak, Sabah dan Labuan diramal berterusan hingga 28 Februari ini.

Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, dan media sosial rasmi.