• 21 Okt 2021 | 14 Rabiul Awal 1443

Cuaca Panas : Paras Air Empangan Seluruh Negara Normal

KUALA TERENGGANU, 15 Mac - Paras air di semua empangan seluruh negara berada pada tahap normal walaupun Malaysia kini berdepan musim kemarau. 

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, paras air di semua empangan masih belum mencapai tahap membimbangkan dan masih mampu menampung keperluan harian rakyat.

Katanya, kerajaan sentiasa memantau situasi terkini sumber air negara dan mendapati paras di semua empangan masih lagi berapa pada paras yang selesa.

"Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan keadaan kepanasan negara lebih rendah berbanding tahun lepas dan kadar kelembapan agak tinggi namun kita memantau.

"Keadaan air di empangan kita masih di paras selesa dan isu gangguan bekalan air yang dibangkitkan di Baling, Kedah baru-baru ini juga sudah diselesaikan oleh kerajaan negeri," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Cabutan Kerja Undi Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar Dan Air Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, hari ini. 

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti Dan Teknologi Hijau negeri, Ir. Saiful Azmi Suhaili serta Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Terengganu, Mohd Sor Othman.

Untuk rekod, terdapat 104 empangan yang berfungsi menakung air di seluruh negara yang mana 63 daripadanya di bawah pengurusan KASA.
 


Tag: