• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Cuaca Panas Punca Induk Penyu Jantan Berkurang

SETIU, 30 Mei – Fenomena El Nino atau cuaca panas yang melanda seluruh negara menyebabkan penghasilan induk penyu jantan semakin berkurangan.

Ketua Makmal Penyelidikan Luar, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Mohd Uzair Rusli berkata setakat ini penghasilan penyu jantan di kebanyakan pusat konservasi hampir tiada atau 0 peratus.

Katanya, keadaan itu dilihat melalui telur yang ditetaskan di kebanyakan pusat konservasi hidupan marin itu.

“Suhu panas menyebabkan kecenderungan untuk menghasilkan induk betina lebih tinggi berbanding induk jantan.

“Pengeraman telur penyu untuk menghasilkan induk jantan dan betina sedikit unik, berbeza dengan manusia,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Pusat Taman Laut di Pulau Redang, di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria.

Tambah Uzair, bagi manusia, jika ayah menyumbangkan X (kromosom) maka akan mendapat bayi lelaki, jika Y (kromosom) akan dapat bayi perempuan.

“Namun, untuk penyu pula penentuan jantina adalah ketika proses pengeraman telur itu di mana proses tersebut berlaku dalam tempoh dua bulan.

“Dalam tempoh itu, ketika fasa selepas 40 hari pengeraman kita perlu pastikan suhu tidak terlalu tinggi kerana ia akan menyebabkan kita menghasilkan banyak induk-induk betina sahaja.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dilakukan bagi memastikan telur penyu yang dieram menghasilkan induk jantan termasuk meletakkan teduhan di kawasan pengeraman.

“Selain teduhan, pihak kami juga akan memastikan kesemua telur yang dipindahkan ke pusat penetasan dieramkan dengan kaedah yang tepat dan betul,” ujarnya

 

 


Tag: