• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Cub Prix' Rancakkan Ekonomi Setempat

KUALA NERUS, 25 Jun - Penganjuran Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 mampu menjadi sebahagian daripada pelancongan sukan bagi negeri Terengganu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penganjuran aktiviti sukan seperti itu boleh memberi manfaat kepada penduduk setempat apabila berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung.

"Sudah tentunya ia boleh beri manfaat ekonomi pada penduduk di negeri Terengganu sendiri dari segi perhotelan, pelancongan dan impak kepada kedai-kedai yang lain di dalam negeri.

"Jadi, saya bagi pihak kerajaan negeri mengucapkan jutaan terima kasih kepada Petronas dan penaja-penaja yang telah menjadikan perlumbaan pada kali ini satu realiti, kita sangat terbuka untuk menerima penganjuran yang sama di waktu akan datang.

"Kepada pelumba-pelumba, saya juga mengharapkan mereka teruskan meningkatkan keupayaan diri masing-masing bukan sekadar untuk pasukan mereka semata-mata, bahkan mungkin sampai satu peringkat mewakili negara ke perlumbaan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang kategori CP150 Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2022 di Litar Pemotoran Terengganu, hari ini.

Turut menyampaikan hadiah, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Datin Anita Azrina Abd Aziz.

Dalam perlumbaan yang berlangsung itu, Kasma Daniel Kasmayudin yang mewakili Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor muncul juara, menewaskan rakan sepasukannya, Nazirul Izzat Md Bahauddin di tempat kedua.

Manakala, pelumba kelahiran Terengganu yang mewakili Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran berjaya menduduki tempat ketiga.