• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Cuti Jumaat Hilangkan Resah Majikan Dan Pekerja

Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Oleh: Nasir Abdullah

KUALA TERENGGANU, 19 Januari - Kerajaan Persekutuan disaran untuk menyelaraskan cuti mingguan pada Jumaat sebagai satu langkah bijak bagi menangani masalah dan keresahan yang dihadapi majikan dan pekerja.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, keresahan yang timbul ialah majikan akan merasakan kerugian jika waktu rehat yang diberikan lebih lama daripada hari-hari biasa.

"Keadaan menjadi lebih teruk kerana kesesakan jalan raya, yang akan melambatkan pekerja kembali ke pejabat," katanya.

Menurutnya, di pihak pekerja pula merasa tertekan kerana terpaksa pulang tergesa-gesa ke tempat kerja mereka kerana masa yang singkat sekali gus untuk mengelakkan konflik dengan majikan.

"Dilema ini boleh diatasi dengan memberikan keadaan menang-menang iaitu menyelaraskan cuti mingguan itu kepada Jumaat dan Sabtu, kerana pada hari Ahad, tiada kewajipan solat seperti Jumaat," jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita hari ini, sebagai menyokong cadangan daripada PAS Kelantan.

PAS Kelantan semalam, melalui Ketua Penerangannya, Dato’ Nassuruddin Daud mencadangkan agar cuti mingguan diselaraskan bagi memudahkan majikan dan pekerja menunaikan amanah masing-masing.

"Walaupun bekerja pada hari Jumaat bukanlah suatu dosa, tetapi ada hukum berkaitan jual beli ketika solat Jumaat berlangsung," kata Nassuruddin ketika menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu semalam.

Mohd Nor yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu turut menyarankan agar kerajaan negeri lain mengikut jejak langkah Kelantan dan Terengganu yang menjadikan hari Sabtu sebagai hari keluarga.

“Kerajaan Terengganu baru-baru ini telah mengikut jejak langkah Kelantan dengan mengisytiharkan Jumaat sebagai hari ilmu dan Sabtu sebagai hari keluarga.

"Kita memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada rakyat untuk mengikuti kuliah ilmu di beberapa tempat yang dikhaskan oleh kerajaan pada hari Jumaat, kerana bagi kerajaan, ilmu amat penting untuk diberikan kepada rakyat.

"Manakala pada hari Sabtu pula, banyak tempat-tempat menarik di Terengganu untuk dijadikan lokasi perkelahan bersama keluarga atau apa-apa akitiviti lain untuk mengeratkan hubungan mereka, dan menjana ekonomi peniaga-peniaga tempatan,” ujarnya.

Beliau yakin hal ini tidak akan menjadi polemik keagamaan kerana Malaysia mempunyai hampir 70 peratus penduduk beragama Islam, maka ianya adalah munasabah dilaksanakan dan Islam juga adalah agama rasmi negara.

Selain Kelantan dan Terengganu, Kedah dan Johor juga menetapkan cuti rasmi mingguan negeri pada hari Jumaat dan beliau percaya ia boleh dikembangkan lagi ke negeri-negeri lain.


Tag: