• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Cuti Umum Arafah Ruang Penghayatan Ibadah

KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Kerajaan negeri telah menetapkan bahawa hari Arafah sebagai hari kelepasan bagi negeri Terengganu sejak 2020 lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata ia bertujuan bagi memberi ruang kepada rakyat negeri ini untuk menghayati peristiwa besar tersebut.

Katanya, Rasulullah S.A.W meletakkan kedudukan hari Arafah sangat besar sehingga baginda memberikan khabar gembira kepada orang yang berpuasa pada hari itu.

“Pelbagai ganjaran diperolehi bagi mereka yang melaksanakan ibadah sedemikian seperti Allah S.W.T menghapuskan dosanya setahun sebelumnya dan setahun selepasnya.

“Gambaran ini menunjukkan betapa agungnya kedudukan hari Arafah berbanding hari-hari yang lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Program Sambutan Penghayatan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 1444H/2023 bertempat di Masjid Al-Muhtadin, Kampung Peradong, Manir di sini semalam.

Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Tambah Mohd Nor, puasa juga merupakan didikan terbaik dalam diri kita supaya dapat meningkatkan lagi ketakwaan kita terhadap Allah S.W.T.

Beliau mengajak seluruh rakyat negeri ini agar menghidupkan hari Arafah yang besar kelebihan serta keistimewaan di sisi Allah Azza Wajalla.

“Semoga kita boleh menjadikan penghayatan peristiwa besar benar-benar hidup di dalam diri masyarakat kita melalui program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri seperti ini.

“Tahniah diucapkan kepada jawatankuasa program serta pihak masjid atas persiapan, kelancaran dan kecekapan sepanjang program berlangsung,” ujarnya.

 


Tag: