• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Daging Penyu Boleh Jadi Punca Penyakit Kronik

 

KUALA NERUS, 8 September – Amalan pemakanan berkaitan daging penyu perlu dihentikan kerana ia  boleh menjadi punca terjadinya penyakit kronik yang menyebabkan kematian.

Pensyarah Biologi Marin Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Muhammad Hafiz Borkhanuddin berkata  penyu  mempunyai kandungan logam berat yang tinggi. 

Tambahnya, kadar logam berat yang diukur dalam tisu penyu melebihi standard keselamatan makanan antarabangsa dan boleh mengakibatkan kesan toksik termasuk penyakit ginjal, barah hati dan kesan perkembangan pada janin dan kanak-kanak.

“Daging penyu juga mempunyai bakteria, parasit, biotoksin, dan tempat pengumpulan bakteria yang terhasil daripada pencemaran alam sekitar. 

“Dari perspektif parasitologi, terdapat banyak laporan yang merekodkan kehadiran telur dan cacing parasit pada penyu seperti cacing trematoda. Parasit-trematoda dewasa dijumpai terutamanya di jantung, manakala telur trematoda boleh dijumpai di pelbagai organ termasuk otak, jantung, hati, paru-paru, limpa, ginjal, kulit, perut dan usus,”  ujarnya  dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Beliau juga berkata satu kajian yang dijalankan ke atas penduduk orang Asli di Australia telah menjumpai telur cacing ini di dalam najis kanak-kanak masyarakat tersebut.

“Ini sekaligus menunjukkan risiko jangkitan akibat pemakanan daging penyu memang berlaku, seterusnya memberi indikasi bahawa cacing dewasa mampu membiak di dalam badan kanak-kanak terbabit,”katanya lagi.

Tambah Muhammad Hafiz, antara kesan kesihatan yang dilaporkan dari memakan penyu laut atau telurnya yang dijangkiti pathogen zoonotik termasuklah cirit-birit, muntah, dan dehidrasi yang melampau, yang boleh mendatangkan kematian. 

“Asasnya, pengambilan telur dan daging penyu jelas mendatangkan kesan negative terhadap kesihatan manusia. Terdapat juga saranan dimana wanita dan kanak-kanak khususnya mengalami kesan yang lebih teruk berbanding lelaki. 

“Oleh yang demikian, aktiviti pengambilan daging dan telur penyu hendaklah dihentikan bagi mengurangkan kesan kesihatan kepada manusia, disamping keperluan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat umum mengenai perkara ini,” jelas beliau.

Selain itu, bagi mereka yang beragama Islam, larangan memakan daging penyu telah dikeluarkan oleh pejabat mufti wilayah persekutuan  kerana haiwan itu merupakan kumpulan haiwan dua alam sepertimana katak, buaya dan lain-lain.
 


Tag: