• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Dakwaan' Ahmad Said : Kerajaan Negeri Sudah Lapor Polis

KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Kerajaan negeri melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) sudah membuat laporan polis susulan 'dakwaan' Dato' Seri Ahmad Said tentang penjualan ladang sawit di Hulu Paka, Dungun.

Setiausaha LTAWNT, Nor Azam A.Rahman berkata, laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu pada pukul 9.30 pagi tadi.

Katanya, tindakan itu dilakukan selepas pihak pengurusan mendapati 'dakwaan' yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal itu palsu dan berniat jahat.

"Pengurusan LTAWNT dengan sekeras-kerasnya menafikan cadangan penjualan tanah tersebut.

"Kami juga tidak pernah membuat apa-apa tawaran jualan ladang itu mahupun melantik mana-mana pihak bagi tujuan penjualan," tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Nor Azam, ladang berkenaan telah diberi pajakan kepada anak syarikat kerajaan negeri, Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd bagi tempoh 30 tahun.

"Tempoh pajakan akan tamat pada 31 Mei 2045 melalui perjanjian pajakan yang ditandatangani oleh pihak-pihak pada 5 Oktober 2021," katanya.

Kelmarin, Ahmad Said yang juga Pengerusi UMNO Terengganu berkata beliau mendapat maklumat daripada seorang peguam bahawa kerajaan negeri mahu menjual tanah seluas 9,225 ekar dengan harga RM130 juta kepada pihak tertentu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan perkara terbabit dan meminta satu laporan polis dibuat.


Tag: