• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Dakwaan Ahmad Said Songsang, Dewan Diguna Agih I-Fitri

KEMAMAN, 24 April - Tuduhan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said yang mengatakan kerajaan negeri di bawah PAS seolah-olah sengaja tidak membenarkan pihaknya menggunakan Dewan Berlian Utama di sini, adalah berniat jahat.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, dewan milik Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) itu sebenarnya digunakan untuk program pembayaran bantuan I-Fitri bermula semalam, Sabtu.

Katanya, ia beerti dewan itu sudah penuh dengan program lain dan kebenaran untuk Majlis Penyampaian Pampasan Bekas Pekerja PERWAJA hari ini tidak dapat diberi kerana tiada ruangan kosong.

"Agihan hari ini bermula jam 8.30 pagi, bukan pukul 2 petang seperti yang Ahmad Said dakwa, esok dan lusa dewan itu masih lagi digunakan untuk agihan bantuan 'duit raya' kepada rakyat.

"Lagipun sudah menjadi dasar kerajaan negeri untuk mengutamakan program kerajaan dahulu sebelum program parti politik.

"Surat program yang mereka hantar kepada MPK menggunakan logo UMNO, jadi program ini adalah atas sifat parti, bukan kerajaan," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Surat permohonan berlogo parti.

Mengulas lanjut Hanafiah menegaskan, agensi dan wakil kerajaan negeri termasuk pejabat daerah juga tidak dijemput ke program tersebut walaupun pihaknya adalah tuan rumah.

"Kerajaan negeri tidak tahu, tiada surat menyurat rasmi kepada agensi kerajaan mahupun Exco," tambah beliau.

Terdahulu, Ahmad Said dalam majlis penyampaian pampasan tersebut di Dewan Pejabat UMNO Bahagian Kemaman berkata, MPK di bawah kerajaan PAS dengki dengan usaha terbabit.

"Program agihan i-Fitri pukul 2 petang, majlis ini bermula pukul 11 pagi, bukan lama pun majlis, kenapa kedekut sangat nak bagi," dakwanya.

Agihan bermula jam 8.30 pagi bukan 2 petang sebagaimana didakwa Ahmad Said.





 

 


Tag: