• 14 Mei 2024 | 6 Zulkaedah 1445

Dakwaan Kamu Tak Benar

Haji Hanafiah Mat.
KUALA TERENGGANU - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat menyangkal dakwaan segelintir golongan yang tidak bertanggungjawab yang menyebarkan desas-desus tidak benar tentang kondisi kesihatannya.

Katanya, dakwaan mereka bahawa beliau sedang tenat akibat penyakit buah pinggang adalah salah sama sekali.

Beliau yang menjalani rawatan di Kuantan Medical Centre (KMC) telah dibenarkan keluar wad baru-baru ini.

"Alhamdulillah kesihatan saya sudah semakin stabil dan doktor menasihatkan saya untuk berehat selama dua minggu," ujarnya.

Tambahnya, beliau akan terus melaksanakan agenda Kerajaan Negeri Terengganu. Sakit hanyalah ujian sementara untuk kembali lebih bertenaga dan berkhidmat kepada rakyat.

"Justeru, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mendoakan kesihatan saya," ucapnya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita (3 Oktober), mengulas tentang keadaan kesihatannya.

Dalam perkembangan yang sama, Haji Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berkata, Karnival Kahwin Kali Pertama akan terus dilaksanakan seperti yang dijanjikan dalam manifesto Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

"Kita telah membuka permohonan kepada pasangan yang memenuhi syarat untuk melangsungkan perkahwinan. Tarikh akhir permohonan telah ditutup pada 1 Oktober baru-baru ini.

"Setelah diproses dan dikenal pasti, hanya 170 pasangan yang mendaftar dan memenuhi kelayakan.

"Kita melihat penyertaan kali ini tidak terlalu ramai. Oleh itu, Karnival Kahwin yang akan dilangsungkan pada November ini akan diadakan di peringkat parlimen," jelasnya.



Tag: