• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Dakwaan Kes Positif COVID-19 Di Pasar Gong Pauh Palsu

KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Cerita tular di media sosial, Facebook dan aplikasi Whatsapp berhubung satu kes terbaharu positif COVID-19 di Pasar Borong Gong Pauh di sini adalah tidak benar.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Azimi Yunus menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menafikan kes yang didakwa membabitkan pemandu lori sayur dari Selayang itu.

Sebaliknya kata beliau, saringan yang diadakan di pasar tersebut hari ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga dan proaktif Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk membendung wabak.

“Pasar Borong Gong Pauh dipilih sebagai lokasi saringan kerana berisiko sebagai pusat penularan memandangkan ia adalah tempat tumpuan orang ramai dan bersesak dengan pengunjung,” tegasnya.

Sehubungan dengan itu, Dr Azimi menasihatkan agar orang awam tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih kerana boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat.

“Pihak jabatan juga menasihatkan orang ramai agar terus kekal di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun serta sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi

“Di samping mengelakkan 3C iaitu ‘crowded places’, ‘confined spaces’ dan ‘closed conversations’ bagi memutuskan penularan COVID-19,” tambah beliau.