• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Dakwah : Kerajaan Terengganu dan Jemaah Tabligh Gerak Seiring

KUALA TERENGGANU, 20 Mac - Kerajaan Terengganu bersama Jemaah Tabligh negeri itu akan bekerjasama dan bergerak seiring bagi mengatur gerak kerja dakwah menemui masyarakat di seluruh negeri Terengganu tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata kerajaan negeri akan mengatur program dakwah itu sebagai tanggungjawab setiap individu muslim menyampaikan dakwah kepada rakyat negeri itu. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat menemui Ketua (Amir) jemaah tersebut, Ramli Haji Muda di Madrasah Al-Quran Kubang Bujuk di sini hari ini.

Turut serta Pengarah Akademi Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Zulkhairi Ngah dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Mohd Harun Isa.

Dr Muhammad Khalil berkata madrasah tahfiz al-Quran tersebut antara institusi tahfiz pertama ditubuhkan di Malaysia pada tahun 1982.

Terdahulu ketika berucap di hadapan kira-kira 200 pelajar madrasah tersebut, beliau menjelaskan antara KPI sasaran portfolio kerajaan yang beliau pegang ialah mengadakan kerjasama dengan semua pemegang taruh dalam bidang dakwah dan pendidikan Islam di negeri Terengganu.

Ini kerana katanya kerja dakwah adalah kerja berterusan (tiada rehat) dan merupakan tanggungjawab semua orang.

"Ada orang anggap kerja dakwah adalah  kerja para tok guru dan ustaz sahaja tetapi sebenarnya tidak begitu.

"Kerja dakwah ini kerja kita semua tidak kira siapa, selagi mana kita orang Islam, wajib menyampaikan dakwah Islam kepada umat di luar sana sebagaimana perintah Nabi 'sampaikan dariku walaupun satu ayat'," ujarnya.

Justeru katanya umat Islam perlu berganding bahu untuk memelihara agama Islam sebagaimana terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah.

 

 

 


Tag: