• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

Dakwah Wujudkan Suasana Sejahtera, Selamat

KUALA TERENGGANU, 14 Mac - Program dakwah yang dianjurkan pelbagai pihak termasuk oleh badan bukan kerajaan (NGO) diyakini mampu mewujudkan suasana yang sejahtera dan selamat.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, impak baik kepada seluruh masyarakat termasuk kalangan yang bukan beragama Islam dapat dilihat melalui aktiviti Semarak Dakwah 2.0 oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) hari ini.

"Mesej-mesej yang disampaikan bersifat umum, bukan semata-mata melibatkan ibadat khusus tapi sebahagian mesej bersifat umum seperti anjuran untuk menjadi rakyat yang baik dari segi akhlak, menjaga kebersihan juga keselamatan.

"Jadi ia juga selari dengan 'Maqasid Syariah' melalui dakwah dibawa YADIM ini," ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata demikian selepas menyempurnakan gimik perasmian program Semarak Dakwah 2.0 (Street Dakwah & Musa'adah Covid-19) di Pasar Kedai Payang, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah kanan Sektor Latihan & Pengkaderan YADIM, Kapten (B) Shamsuddin Moner, Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Muhammad Ramlan Mahmood, Timbalan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Sazali Mohd Noor.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Mengulas mengenai program terbabit, Ahmad Amzad berkata ia melibatkan 300 sukarelawan YADIM dengan kerjasama Urus Setia Belia Sukan dan NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT) menerusi Terengganu Volunteer ( T-Volt)

Katanya, dakwah di lokasi tumpuan ramai itu merupakan suatu inovasi yang lebih efektif dan menyeluruh.

"Kita membawa keluar daripada konsep yang biasa dilakukan di institusi-institusi seperti surau, masjid dengan cara memasyarakatkan dakwah itu sendiri dengan masuk ke akar umbi .

"Ini menjadi kesinambungan kepada program yang telah diadakan tahun lepas di mana ia mendapat maklum balas yang positif, ini menunjukkan satu lagi kemajuan apabila masyarakat terdiri daripada peniaga kecil, penjaja dan pemandu-pemandu bas sekolah turut didekati," katanya.

 


Tag: