DUNGUN, 27 September – Tindakan awal Jabatan Amal Dungun bertindak segera memadam kebakaran kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang terbakar berhampiran kawasan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini, membantu mengawal keadaan panik di kalangan orang ramai.
Menurut Komandan Jabatan Amal Dungun, Tarmizi Hilmi Mohamad Zuber, sebenarnya pihaknya ketika itu sedang mengawal Program Alam Ria PASTI Negeri Terengganu yang sedang berlangsung di lokasi terbabit.

Melihat kejadian itu, beliau bersama beberapa anggota lain segera bertindak memadam kebakaran sementara menunggu ketibaan pihak berwajib.
"Sebahagian dari kami pula mengawal lalu lintas bagi mengawal keadaan yang berlaku.
"Alhamdulillah, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut," katanya.
Tambahnya, Program Alam Ria PASTI tetap diteruskan seperti biasa selepas keadaan kembali terkawal.