• 26 Sept 2021 | 18 Safar 1443

Dasar Perhutanan Malaysia Garis Hala Tuju

KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Dasar Perhutanan Malaysia (DPM) menggariskan hala tuju jelas termasuk strategi dan pelan tindakan pragmatik dalam mendepani cabaran baharu sektor perhutanan di peringkat domestik serta antarabangsa.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, DPM telah diluluskan oleh Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-78 pada 29 Januari lalu.

“DPM merupakan dasar inklusif mengambil kira kepentingan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak ke arah mencapai pembangunan mampan serta pengurusan hutan secara bertanggungjawab dan berkekalan.

 “Penerimaan satu dasar perhutanan di peringkat persekutuan secara amnya telah melakarkan sejarah dalam bidang pengurusan perhutanan di negara ini yang kini menjangkau usia 120 tahun,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Ahmad Samsuri telah mengikuti Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia bersempena Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2021 dan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Tahun 2021 Peringkat Negeri Terengganu secara virtual melalui aplikasi Zoom di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Majlis Pelancaran Dasar Perhutanan Malaysia telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor.