• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

Datuk 81 Tahun Genggam Ijazah Sarjana, Kini Sambung Phd

KUALA NERUS, 25 Januari-  Seorang datuk kepada empat cucu antara 3,345 graduan yang menerima anugerah sarjana pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-12 di sini, bermula semalam.

Bergelar seorang peguam, Datuk Victor Isaacs, 81, membuktikan warga tua mampu menggenggam ijazah biarpun sudah lanjut usia. 

Katanya, semuanya tidak mustahil jika ada keazaman dan kecekalan dan yang paling penting, sentiasa ingat yang umur itu bukanlah satu penghalang.

“Tiada yang terlambat bagi seseorang mencapai cita-citanya. Selagi ada hayat, kita harus mencari ilmu,” ujar bapa kepada enam anak itu ketika ditemui selepas majlis konvokesyen, di sini, hari ini.

Victor yang menerima Ijazah Sarjana Sains pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-12 berkata, menyambung pengajian pada usia emas bukan mudah, namun ia antara cabaran perlu ditempuhnya.

“Sepanjang tempoh belajar lebih empat tahun di UniSZA, saya akui menghadapi kekangan tertentu tetapi semua itu tidak pernah lunturkan semangat untuk berjaya terutama apabila meneruskan pengajian dalam bidang berbeza.
 
“Sebelum ini, saya adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan sekarang saya mempunyai firma guaman sendiri dan berkerja sebagai peguam sejak 40 tahun lalu,” katanya yang hadir bersama isteri dan anaknya.

Menurutnya, kini dia meneruskan pengajian di peringkat PhD bermula tahun 2020 dalam mod penyelidikan dalam bidang Euthanasia.

“Saya sedang buat kajian tentang keganasan dalam rumahtangga yang dipengaruhi oleh dadah dan saya temubual beberapa orang penagih berkenaan kajian ini,” katanya