• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Delegasi MOSTI Mengadap Sultan Terengganu

Oleh : Safiq Sapai

KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Delegasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyembah maklum mengenai perolehan vaksin COVID-19, kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang juga Timbalan Menteri MOSTI, Ahmad Amzad Hashim berkata, pertemuan mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu adalah bagi menyembah maklum perkembangan tentang perolehan vaksin COVID-19 yang dibeli oleh Malaysia serta perkembangan semasa pandemik di negara ini dan seluruh dunia.

“Saya menjunjung kasih di atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Mizan Zainal Abidin  untuk menghadap baginda bagi menyembah maklum berkaitan perolehan vaksin COVID 19 di Malaysia.

“Saya juga menyembah maklum akan usaha kerajaan melalui Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di dalam membangunkan Pelan Vaksinasi Negara, perolehan vaksin, pembangunan kepakaran dan kemudahan pengeluaran vaksin tempatan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas usai pertemuan yang diadakan di Istana Syarqiyyah, Chendering, Kuala Terengganu, di sini, Khamis lalu.

Hadir sama dalam delegasi itu, Ketua Setiausah MOSTI, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir dan Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembudayaan STI, Dato’ Parang Abai@Thomas.

Sehubungan itu, Amzad turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu,  Dato` Pengelola Bijaya Diraja dan Setiausaha Sulit Kanan Tuanku Sultan Terengganu kerana telah menyelaras majlis pertemuan itu.